Friday, November 13, 2015

Garis masa pengalamanku bersama pelbagai jemaah

Dulu, sewaktu  kecil saya seorang kanak-kanak yang sangat banyak mulut. Masa umur saya 6 tahun saya bagitahu keluarga saya, saya nak kahwin dengan orang nama Jabbal. Bila ditanya kenapa, saya jawab bolehla saya bagi nama anak saya Muaz bin Jabbal.

Begitulah kesan tarbiah Jemaah tabligh, anak sekecil 6 tahun sudah kenal Muaz bin Jabbal dan sumbangan beliau kepada Islam.

Memandangkan PRK dah nak dekat, dan bila PRK ni lah timbulnya isu Jemaah. Suka saya kongsikan pengalaman-pengalaman manis saya bersama Jemaah-jemaah yang berbeza-beza.

Bismillah.

Kalau tengok janggut ayah saya je biasanya orang dah tahu ayah saya mesti daripada Jemaah tabligh. Iya, betul, saya masih ingat sewaktu kecil,  malam-malam kami sekeluarga akan berkumpul membaca fadhail a’mal. Di situ lah telinga saya sudah biasa mendengar nama para sahabat. Sejak saya berusia 4 tahun juga ibu saya sudah mengajar baca Al-Quran, dan akan membaca setiap hari dengan saya sehingga saya khatam membaca al-Quran pada usia 8 tahun. Kami akan pergi ke majlis ta’lim pada hari ahad.Yang wanita semua litup berniqab duduk di sebalik tirai mendengar bayan. Saya masih ingat, sampul-sampul duit untuk ke sekolah yang ditulis dengan kata-kata semangat oleh ibu saya sewaktu ibu bapa saya khuruj 4 bulan ke India. Di sini ada cerita yang panjang tapi rasa tak perlu dikongsi di sini. Alhamdulillah, banyak kesan positif yang saya terima daripada jemaah ini.

Sejak darjah satu hingga darjah 6, saya masuk ke sekolah agama tahfiz ABIM. Sebelah pagi semasa darjah 1 hingga 3 dan sebelah petang semasa darjah 4 hingga 6. Di situ lah saya menghafaz juzu amma, melazimkan diri membaca wirid setelah solat, belajar tentang thoharoh, belajar asas bahasa arab, dan banyak lagi ilmu-ilmu asas di dalam Islam.Alhamdulillah, banyak kesan positif yang saya terima daripada jemaah ini. ( ya ABIM pun jemaah )

Apabila meningkat ke sekolah menengah, saya agak nakal dari form 1 sampai form 3. Jeans pun pakai, nasib baiklah baju masih labuh. Bila tiba usia 15 tahun, hati mula rasa kosong, mulalah kembara mengisi hati. Setiap hari selepas maghrib saya membaca kitab bimbingan mu’minin sebuah ringkasan kepada kitab ihya’ ulumuddin karya Imam Ghazali. Karya ini emberi impak yang sangat besar kepada saya, Alhamdulillah asbab daripada inilah saya mula berubah, tudung yang cukup-cukup je besar saiznya, mula dilabuhkan. Semua jeans dan seluar ditukar ke baju kurung dan jubah.
Alhamdulillah, banyak kesan positif yang saya terima daripada aliran tasawwuf ini

Kembara mencari hidayah diteruskan lagi, pada usia 16 tahun pula setiap hari saya akan tengok ceramah di Youtube, disebabkan saya memang membesar membaca dan menonton segala yang berbahasa Inggeris, maka yang ditonton di Youtube pun semua penceramah-penceramah Muslim dari Negara-negara barat. Sheikh Nouman Ali Khan, Sheikh Yasir Qadhi, Sheikh Tawfique Chowdury, Sheikh Yusuf Estes, dan ramai lagi. Kebanyakan mereka adalah graduan Universiti Madinah, dan kebanyakannya beraliran apa yang masyarakat gelar ‘salafi’ ataupun yang lebih kasar ‘wahabi’. Masa tu masih buta tentang kepelbagaian aliran dan Jemaah dalam Islam ni.

Tapi asbab menonton ceramah-ceramah mereka ni lah saya berkeras dengan keputusan saya untuk meneruskan pelajaran di dalam bidang pengajian Islam. Asbab penerangan Ustaz Nouman Ali Khan tentang kehebatan dan ‘linguistic Miracle’  Al-Quran lah saya berhasrat untuk benar-benar mendalami al-Quran secara serius. Ya kebanyakan mereka adalah golongan  yang berpegang kepada alunan musik itu haram, hanya suara manusia dan pukulan gendang sahaja yang shar’ie, ya, kitab tauhid yang mereka tahqiq atau terjemah juga adalah karangan sheikh Ibn Taimiyyah. Ha mungkin ada yang terkejut. Tak apa, tenang, tenang, sambung baca lagi.

Selepas SPM saya teruskan perjalanan mengisi hati. Abang saya yang sedang menuntut di Nilampuri mula menceritakan tentang konsep usrah, maratib amal, muwassofat at-tarbiyah, dia perkenalkan saya kepada tokoh Sheikh Hassan Al-Banna, Sheikh Sayyid Qutb. Dia lah yang mula mengatur usrah saya yang pertama bersama-sama kakak-kakak di UKM. Masa tu saya masih lagi buta tentang kepelbagaian Jemaah. Usrah tersebut rupanya di bawah kelolaan ISMA. Rakan sekolah saya yang saya amat kagumi yang sangat hebat peribadi dan wawasannya barulah saya tahu rupanya puteri kepada presiden ISMA. Sempat join 2 - 3 sesi je pun. Tetapi itulah pengenalan saya kepada sistem usrah, Alhamdulillah, banyak kesan positif yang saya terima daripada jemaah ini

Semasa fasa lepas SPM ni juga saya dijemput oleh rakan saya ke diskusi muslimah anjuran Hizbut Tahrir. Saya berpeluang pergi sekali sahaja. Rakan saya ni saya kenali dari sekolah rendah. Ma shaa Allah peribadi beliau sangat hebat. Ahli-ahli ni jemaah rata-ratanya mempunya kadar thaqafah yang sangat tinggi membuatkan saya kagumi mereka. Alhamdulillah, banyak kesan positif yang saya terima daripada rakan saya ini

Sebelum masuk Dq pula, saya belajar di sebuah tempat pembelajaran di mana pengajarnya semuanya lepasan Gontor dari Indonesia. Salah seorangnya Salafi kaw2 punya. Sambil tersenyum, dialog yang sering keluar dari mulutnya “Ya sheikh, kalau antum mau tahu,  Ini bid’ah… Rasulullah tidak pernah……......” Ustaz berketurunan Yaman warganegara Indonesia yang tak pernah lekang senyuman dari bibirnya inilah yang membuat saya secara tak sedar, cenderung kepada aliran ini. Tenang ASWAJA, tenang, tenang, sambung baca lagi.  

Alhamdulillah pada tahun 2014 saya diterima masuk ke Darul Quran. Di sinilah saya belajar pelbagai perkara. Di sinilah juga saya menyemak semula segala yang pernah saya terima sebelum ini.

Saya masih ingat, semasa semester 2 ada seorang insan yang memberi saya sebuah buku bertajuk “Darah Wahabi”. Disuruhnya saya baca selepas satu perbincangan yang kontroversi di dalam kelas. (ceh, kontroversi lah sangat) Jujurnya, masa dapat tu agak sakit hati. Tapi lama kelamaan, tindakannya membuat saya berfikir dan menilai semula pelbagai perkara. Saya mula nampak, kewujudan golongan-golongan ekstrem di dalam setiap aliran itu adalah perkara normal dan perlu di 'acknowledge'. Setiap aliran itu juga ada pro dan kontranya. Saya juga tersedar yang saya hampir berada di jurang golongan yang ekstrem. Saya mula menilai setiap aliran dengan kaca mata yang positif dan hati yang terbuka.

Tetapi, walaupun saya berazam begitu lain jadinya apabila diuji. 

Hati terguris tak tahu nak kata. 
Tak sangka, tak faham dan tak cuba untuk memahami, mungkin itu puncanya. 

Begitulah bagaimana pengalaman yang tak sampai satu hari ke ‘program sirr’ memberi kesan. Tenang semua pelajar DQ, tenang, tenang, sambung baca lagi.

Iya, dari semester satu kakak-kakak ni sangat rapat dengan saya. Mereka sangat berdedikasi dan bersemangat. Saya nampak sendiri pengorbanan mereka dalam memperjuangkan pemeliharaan bi'ah solehah. Tapi disebabkan ketidakfahaman saya, ketidaksabaran saya, sangkaan saya dan masalah personal saya; Saya memberontak.

Semasa saya semester 2 saya diajak ke program Sirr. Satu hari tu sahajalah saya join. Selepas itu, rasa macam dah disenarai hitamkan kot. Taknak cerita panjang, tapi di sini saya ingin membersihkan fitnah2 yang dilontarkan kepada mereka, dan juga sedikit pendapat yang terpulanglah mahu terima ke tidak. Sekadar pemberitahuan tentang satu kebenaran yang barangkali dipandang enteng tetapi signifikan di mata dan hati-hati yang terluka.

Ada yang tanya, diorang ni sesat ke?

Tak mereka tak sesat, In shaa Allah aqidah mereka suci murni.

Ada yang tanya juga, diorang ada kitab diorang sendiri ke?

Hahahaha, ini lawak. Tak ada, mereka semua menghafaz Al-Quran. Macam awak dan saya

Ada yang menuduh, mereka ini mencela para habaib dan Jemaah tabligh.

Tak adalah, saya sendiri nampak dan tahu dengan mata kepala sendiri ada je pelajar ahli tarekat yang sertai program ini dan masih aktif dalam group ini. Begitu juga mereka tidak pernah mencela mana-mana Jemaah.

Cuma satu sahaja, perlu diambil perhatian di sini, ini pendapat personal melalui pemerhatian secara umum terhadap mereka – dan boleh jadi saya salah. Mereka berpegang kepada pegangan politik yang sama. Ini pendapat saya juga, setelah 2 semester memikirkan, dan cuba memahami, dan cuba meletakkan diri saya di posisi mereka. Saya fikir, jika benarlah teori saya yang mereka berpegang kepada pegangan politik yang sama, di situlah relevannya cara gerakan mereka. Dan jika itu benar, saya hormati cara mereka dan saya sokong dari jauh. Dan saya sarankan kepada semua, berlapang dadalah, bersangka baiklah, maafkanlah. Cuba untuk memahami dan hormati walaupun berbeza pandangan. Bermanis mukalah. Kitakan huffaz? :)

Tentang desas desus mereka merangka Perkemat lah apa lah, saya tak berani nak kata apa sebab saya tak menjadi saksi kepada semua itu. Kalau betul pun mereka merancang untuk menaikkan sesetengah individu untuk mendapatkan kerusi Perkemat, tak menjadi masalah pun. Kalau difikir, kalau betullah, itu satu strategi yang sangat bijak. Orang yang beriman patut teratur perancanganya. Daripada yang bukan Jemaah sirr nak marah-marah, merungut-merungut, apa kata buat Jemaah baru. Bagi nama Jemaah Jahr. Naikkanlah individu-individu yang korang rasa layak dinaikkan. Barulah ada persaingan yag sihat. Hahah gurau saja.

Yang saya amat yakin, bukan semua di dalam barisan Perkemat itu Jemaah Sirr, dan bukan semua yang di dalam Majlis Nuqaba’ itu Jemaah Sirr. Dan perjuangan mereka adalah untuk mengekalkan biah solehah. Dan itu adalah sesuatu yang sangat baik, dan juga merupakan salah satu perkara yang penting. Jadi support je la. Tak elok gaduh2. Cuba buka surah hujurat ayat 10. Tadabbur ayat tu.

Kepada ahli Jemaah sir, terutamanya kakak-kakak yang jemput saya, yang ambil dan hantar saya ke rumah, yang ajak saya ke masjid, yang belanja makan, yang kongsi cerita, yang beri semangat. Minta maaf, saya terburu-buru dalam mengambil keputusan. Walaubagaimanapun, alhamdulillah, saya dah jumpa cara yang lebih sesuai dengan hati saya untuk memperjuangkan Islam. Perjuangan Islam ini luas, dan bermacam-macam cara, kita raikan semua cara itu dan ajaklah insan-insan lain dengan cara yang lembut. Saya sayang antunna semua dan saya bersyukur dan menghargai masa yang kita luangkan bersama. Moga-moga Allah menerima perjuangan dan pengorbanan antunna dan membalasnya dengan syurga. Sedikit pandangan dari saya yang saya dahului dengan ucapan maaf sekali lagi,

Antum perlu tahu, ( barangkali semangat antum terlalu tinggi untuk menyedari perkara ini) Cara yang antum gunakan menyinggung hati banyak pihak. Ini adalah realiti yang saya kira antum wajar ambil kira untuk muhasabah. Terutama bagi banat, sebab banat hatinya lebih sensitif. Persahabatan akan tercalar sekiranya kepercayaan digoyangkan. Metodologi perjuangan antm (tawriyah, helah, dan sebagainya) meletakkan risiko yang sangat tinggi kepada nilai kepercayaan di dalam ukhuwwah yang sudah sedia terbina. Saya kira, nilai kepercayaan itu sangat tinggi dan bagi saya, saya tak sanggup mengorbankan nilai kepercayaan dalam ukhuwwah yang sedia terbina bagi suatu perjuangan yang masih banyak persoalan saya tak terjawab.

Antum bukan Nabi Khidr untuk menyuruh adik-adik ikut tanpa menyoal. Hatta Nabi Musa pun disuruh pulang kerana menyoalkan. Pelajar Dq yang lain bukan ahli musyrikin mekah untuk antum mengikut sunnah fasa berdakwah secara rahsia bagi mengekalkan biah solehah. Mungkin sudah tiba masanya untuk antum nilai semula strategi ini, budaya yang kakak-abang dulu telah mulakan.
Minta maaf, dan terima kasih. Dan moga Allah redha dengan kita semua.

واليعفوا واليصفحوا, ألا تحبون أن يغفر الله لكم؟

Kesimpulannya, tenang semua. Semua Jemaah, semua aliran, semuanya mempunyai matlamat yang sama. Cuma metodologinya sahaja berbeza. PRK ni rilek-rilek la. Jaga akhlak, jaga ukhuwwah. Adik-adik sem 2, kalau nak mengundi tu tanya je ahli-ahli sesemester (laqsus) seramai mungkin sebab mereka lebih kenal ahli semester mereka. Tapi kalau malas, pun xpe. PRK je pun bukan PRU.

Sekali lagi minta maaf kepada semua. Saya rasa perlu untuk warkah ini ditulis.

Akhir kata, semua jemaah-jemaah dan aliran-aliran yang pernah saya sertai dan kaji semuanya dimulakan dengan niat yang sangat baik. Digerakkan pula oleh jiwa-jiwa yang mengharapkan keredhaan Allah dan mahu orang lain juga begitu.

Ingatlah, perjalanan hidup mencari hidayah bagi setiap individu adalah berbeza dan telah pun diatur oleh Allah. Hakikatnya, apa pun jemaah atau aliran yang kita pilih atau orang lain pilih, Allah lah satu-satunya yang sebenarnya membimbing dan memberi hidayah kepada setiap insan. Bukan Murabbi, bukan jemaah, bukan guru. Mereka semua wasilah sahaja. Jangan label sesebuah Jemaah atau aliran kerana seorang ahlinya yang masih dalam fasa belajar. Berlapang dadalah.

P/S: Saya masih tak faham-faham lagi kenapa isu jemaah perlu menjadi sesuatu yang sensitif. Anyone care to explain?