Sebelum tu, apa itu TASUR? TASUR adalah ringkasan bagi 'Thoughts and sentiments upon reading:' Kenapa tak guna perkataam 'review' je? Sebab review dan TASUR tak sama. Ok, sekian info tentang itu.
Buku ini telah membuka mata saya tentang pelbagai perkara, ia juga telah memberi satu sudut pandang yang berbeza kepada saya tentang isu kalimah 'Allah' yang hangat terpampang di dada-dada akhbar beberapa tahun yang lepas.
1. Selepas membaca buku ini, baru saya sedar betapa besarnya peranan dialog dalam mewujudkan keharmonian serta menyelesaikan masalah di dalam masyarakat. Jika kita lihat kepada kebanyakan masalah yang timbul di dalam masyarakat kita, kebanyakannya disebabkan oleh ketidakfahaman di antara satu sama lain, menilai sesuatu perkara mengikut kaca-mata kita sendiri, dan anggapan berdasarkan 'generalization'. Dengan dialog, kesefahaman dapat diwujudkan apabila kedua-dua pihak dapat menyuarakan tentang sesuatu isu itu mengikut sudut pandang mereka dengan cara yang baik dan aman.
2. Saya juga berasa sangat kagum dengan usaha penulis Dato' Dr. Mujahid Yusof Rawa menangani isu kalimah 'Allah' yang bermula pada tahun 2010 dengan memulakan inisiatif dialog. Usaha beliau membuatkan saya yang tidak begitu gemar dengan bidang politik sedar bahawa jika kuasa itu berada di tangan insan-insan yang bertanggungjawab, harapan untuk sesuatu perubahan yang menakjubkan tak akan pernah pudar.
3. Tanpa saya sedari, sebenarnya dahulu saya juga termakan dengan putar-belit media tentang isu ini, Saya juga termakan dengan sangka buruk sesetengah golongan terhadap penganut agama kristian. Selepas menyelesaikan buku ini, barulah saya fahami isu yang sebenar.
Satu aspek yang saya terfikir tetapi tidak disebut oleh penulis adalah tentang kejahilan masyarakat. Menurut penulis, kejahilan dan sensitiviti masyarakat menjadi permainan politik sesetengah pihak, namun bagi saya kejahilan masyarakat itu sendiri adalah sesuatu yang amat perlu dititikberatkan, malahan merupakan esen utama mengapa negara kita menghadapi pelbagai masalah.
Sejak timbulnya isu ini, saya sentiasa berada di pihak yang tidak merasakan ianya merupakan satu masalah bagi penganut agama kristian di negara ini untuk menggunakan kalimah 'Allah'. Malahan, saya berasa sangat malu apabila umat islam dari negara lain mempersoalkan betapa ceteknya pengetahuan umat islam di Malaysia dan kehairanan mereka dengan ledakan emosi majoriti daripada kita tentang isu yang pada hakikatnya sangat remeh. Oleh itu, seperti yang telah saya katakan. Kejahilan masyarakat merupakan satu perkara yang tidak boleh kita pandang enteng malah kita harus melipatgandakan usaha bagi menangani masalah masyarakat yang jahil dan hanya mengamalkan Islam berlandaskan apa yang sudah terbiasa di dalam masyarakat dan bukan yang seperti dikehendaki oleh syariat Islam.
Walaubagaimanapun, usaha penulis tetap merupakan usaha yang patut dicontohi, Pada masa yang sama, moga-moga masyarakat kita semakin hari, keluar daripada belenggu kejahilan.
No comments:
Post a Comment